PEMAHAMAN 5
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya.
Belakangan ini, unsur-unsur seperti air, udara, bunyi, hutan, dan tempat tinggal manusia semakin tercemar. Manusia yang rakus akan wang telah menyebabkan alam sekitar ternoda.
Kalau kita perhatikan, setiap hari bukit-bukau digondolkan, pohon-pohon hijau ditebang, sungai-sungai dan lautan telah dicemari. Kesan pencemaran menyebabkan suhu muka bumi meningkat dan lapisan ozon semakin nipis.
Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pemuliharaan alam sekitar. Di peringkat kanak-kanak, diadakan pertandingan melukis dan mengarang tentang alam sekitar. Manakala di peringkat sekolah pula digalakkan menubuhkan Kelab Pencinta Alam Sekitar bagi menyedarkan para pelajar tentang kepentingan memulihara alam sekitar.
Bagi orang awam, Dana Hidupan Liar Malaysia telah menyarankan unsur-unsur yang perlu dilakukan untuk pemuliharaan alam sekitar. Unsur-unsur ini ialah rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar, kemahiran menggunakan sumber alam dengan berkesan, dan semangat bekerjasama untuk menjaga kebersihan.
Selain memberikan kesedaran kepada masyarakat, undang-undang pengawalan juga telah dibuat. Hal ini disebabkan sesetengah masyarakat tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Mereka masih tidak mempedulikan kebersihan alam sekitar. Oleh itu, negara kita telah mengadakan pelbagai akta untuk mengawal alam sekitar. Tujuannya adalah untuk membolehkan pihak berkuasa mengenakan tindakan kepada individu dan kumpulan masyarakat yang melakukan kesalahan.
Sebenarnya, pihak kerajaan bukanlah ingin menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian semata-mata, sebaliknya dalam masa yang sama ingin memiliki persekitaran yang selamat dan indah. Oleh itu, semua pihak seharusnya memikirkan peranan masing-masing demi mewujudkan alam sekitar yang bersih agar kehidupan rakyat akan lebih harmoni.
1 Apakah faktor utama yang menyebabkan berlakunya pencemaran alam?
A Bencana alam
B Ancaman haiwan
C Perubahan masa
D Perbuatan manusia
2 Mengapakah undang-undang perlu dibuat bagi mengawal pencemaran alam sekitar?
A Untuk memelihara alam sekitar
B Untuk menanamkan sikap bertanggung jawab
C Kerana ada golongan yang masih berdegil
D Kerana kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai
3 Bagaimanakah kesedaran tentang perlunya menjaga alam sekitar diwujudkan di kalangan pelajar-pelajar?
A Dengan memberikan ceramah kesedaran
B Dengan menubuhkan persatuan-persatuan dan kelab-kelab
C Dengan mengadakan peraturan-peraturan
D Dengan mengadakan pertandingan-pertandingan
4 Dana Hidupan Liar Malaysia telah mencadangkan agar orang ramai mengambil tindakan-tindakan yang berikut bagi memulihara alam sekitar, kecuali
A mempelajari cara-cara menggunakan sumber alam.
B sentiasa bekerjasama membersihkan alam sekitar.
C selalu mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar.
D mengawal kegiatan masyarakat berkaitan dengan alam sekitar.
5 Kata perindustian bermaksud
A perusahaan. C pertanian.
B maju. D moden.