Al-kisah terdapat seorang pemburu
mempunyai seekor burung helang yang sangat bijak. Setiap kali dia pergi
berburu, pemburu itu mesti membawa burung itu bersama.
Pada suatu hari, pemburu itu masuk ke
dalam hutan untuk memburu dengan helang kesayangannya. Sebaik tiba di dalam
hutan, burung helang pun terbang sambil melihat ke bawah mencari binatang yang
diburu oleh tuannya.
Tiba-tiba burung helang terbang dengan
pantas ke satu tempat. Melihat reaksi helangnya, pemburu tahulah bahawa burung
helang nampak binatang yang diburu. Apabila tiba ke tempat itu, pemburu nampak
seekor pelanduk yang sedang enak memakan buah-buahan hutan di situ. Tanpa
disangka pemburu, si pelanduk sedar akan kedatangan pemburu itu lalu
menyelamatkan dirinya.
Pemburu dan helangnya pun mengejar
pelanduk itu yang lari naik bukit dan turun bukit menyelamatkan dirinya
daripada diburu. Pelanduk itu berlari dan terus berlari sehingga tiba di tepi
sungai ia pun berhenti. Pelanduk itu mula resah kerana ia tidak boleh
menyeberang sungai. Akhirnya pemburu pun berjaya menangkap pelanduk itu setelah
penat mengejarnya tadi.
Selepas penat pemburu mengejar pelanduk
itu, pemburu mula rasa sangat dahaga dan dia pergi ke tepi sungai untuk
mencedok air sungai itu dengan tangan.
Apabila pemburu itu hendak meminum air
sungai itu dengan tangan, tiba helangnya menepis air di tangan pemburu. Pemburu
itu mencedok air sungai sekali lagi, burung helang menepis tangan tuannya
sekali lagi.
Akibatnya pemburu itu sangat marah lalu
memanah ke arah burung helang kesayangan yang sedang terbang itu. Burung helang
itu pun jatuh menyembah bumi di tepian hulu sungai.
Pemburu itu berlari untuk mendapatkan
burung helangnya dan mendapati helangnya telah mati dengan matanya yang
terbuka, seolah-olah berkata, “Tuan, kenapa tuan memanah saya? Apa salah
saya?”. Tidak jauh dari tempat burung helang itu jatuh, pemburu itu ternampak
seekor ular berbisa yang telah mati. Racun daripada ular meleleh masuk ke dalam
sungai.
Maka pemburu itu sedar mengapa helangnya
itu menepis tangannya setiap kali dia hendak mencedok air sungai tersebut.
Sesiapa yang meminum air sungai itu pasti akan jatuh sakit kelak.
Rasa kesal memanah helangnya pun membuak
dalam hati pemburu itu. “Sungguh setia helang aku, maafkan aku helang” kata
pemburu itu pada helangnya yang mati itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan